Rabu, 9 Februari 2011

Buah Melinjau


Melinjau atau nama saintifiknya Gnetum gnemon juga dikenali dengan buah belinjau di sesetengah tempat. Di Terengganu pula ada yang menyebutnya buah ‘binja’ dan ada yang menyebut buah‘cokok’. Bagi masyarakat Iban di Sarawak pula mereka memanggilnya dengan nama buah ’sabung’. Melinjau merupakan sejenis buah yang tidak bermusim dan dipercayai buah ini begitu sinonim di kalangan masyarakat Jawa dan Banjar di sekitar Johor. Buah melinjau berbentuk bujur panjang dan permukaannya licin. Kebiasaannya buah ini dibiak melalui biji benih. Walau bagaimanapun, peratus percambahannya dikatakan agak rendah. Buah melinjau selalunya diproses untuk dijadikan keropok atau emping. Emping dari buah melinjau ini biasanya dijual di tepi-tepi jalan terutamanya di kawasan kampung. Namun, selain untuk diproses, daun dan buah melinjau juga boleh dijadikan penyedap rasa dalam hidangan. Pucuk mudanya boleh dibuat sayur seperti masak lemak atau masak air. asanya agak manis. Daunnya juga dikatakan sedap ditumis bersama dengan buahnya sekali. Buah melinjau biasanya dibelah dua, dan selaput bijinya perlu buang. Biji dan kulit buah ini boleh di makan atau dijadikan bahan dalam masakan. Buah melinjau muda juga sedap dimasak bersama daging cincang atau dibuat kari. Buah yang telah masak pula boleh di rebus begitu sahaja dan dimakan seperti kacang tanah rebus. Selain direbus, buahnya yang telah masak boleh dibakar dengan sabut. Kemudian dibuang kulit dan ditumbuk supaya ia menjadi leper. Selepas itu boleh terus di makan seperti makan kerepek. Cara yang lain untuk menyediakannya ialah seperti memasak buah berangan iaitu digoreng bersama pasir sehingga masak.






Ada juga menggunakan biji yang telah diasingkan dan menggorengnya tanpa minyak di dalam kuali. Kemudian diletakkan sedikit garam bagi menambah rasanya. Bagi yang ingin mencuba resepi masakan gulai melinjau, caranya mudah sahaja. Rebus buah belinjau hingga empuk di dalam periuk. Setelah empuk, masukkan santan dan serbuk kari. Tumis bawang merah, bawang putih, daun kari dan halba di dalam kuali sehingga keluar aromanya. Setelah itu, tuangkan bahan tumis tadi ke dalam periuk yang berisi belinjau yang telah  direbus.Biarkan sehingga mendidih, kemudian boleh masukkan udang atau daging. Masukkan garam secukup rasa dan biarkan bahan-bahan tadi mendidih seketika. Akhir sekali, gulai melinjau tersebut telah siap untuk santapan. 

Penulis @ www.fazlisyam.com

1 ulasan:

  1. Tertarik ngan tajuk artikel tetapi ternyata penulisan lebih ke cara pemakanan tumbuhan melinjau.

    BalasPadam